Malaysia: Naungan Kasih

Program Keibubapaan Naungan Kasih (Naungan Kasih) dibangunkan bersama dan untuk ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berumur 2 hingga 6 tahun. Ia merupakan program pengukuhan keluarga yang menggabungkan alatan digital, sesi bersemuka dan sokongan keibubapaan digital untuk menyediakan ibu bapa dengan kemahiran yang menggalakkan perkembangan, pembelajaran, dan kesejahteraan anak-anak mereka. Dengan memperkasakan ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran rumah yang mesra dan sihat, program ini membantu ibu bapa membina hubungan positif antara ibu bapa dan anak,  mengurus tingkah laku anak yang mencabar, dan menyediakan anak-anak mereka untuk berjaya di sekolah.

Dengan pembiayaan daripada The Human Safety Net dan The LEGO Foundation, Parenting for Lifelong Health (PLH) menyokong prasekolah kerajaan KEMAS dan pusat komuniti swasta untuk mencapai lebih 280,000 penjaga, dan memberi manfaat kepada lebih 300,000 kanak-kanak menjelang akhir 2027. 

Projek ini sedang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW), University of Oxford, UNICEF Malaysia, IDEMS International, dan Parenting for Lifelong Health (PLH).

Latar Belakang 

Di Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2016 mendapati bahawa 71% ibu bapa melaporkan menggunakan disiplin ganas dengan anak mereka (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2016). Tinjauan yang sama mendapati hanya 25% kanak-kanak Malaysia menerima rangsangan pembelajaran awal di rumah. Keibubapaan positif memainkan peranan penting dalam memperbaiki hasil ini, tetapi pelaksanaan program keibubapaan secara bersemuka tetap menjadi cabaran, terutamanya apabila sumber terhad. Meningkatkan akses kepada penyelesaian keibubapaan yang mudah dan murah adalah penting untuk membantu pembelajaran awal di rumah serta menambah manfaat untuk anak dan keluarga.

Penyelesaian

Memandangkan cabaran yang dihadapi oleh keluarga di Malaysia, program Naungan Kasih dibangunkan bersama guru prasekolah, pakar keibubapaan, dan ibu bapa, untuk memperkasakan ibu bapa dengan kemahiran yang diperlukan untuk menyokong perkembangan, pembelajaran dan kesejahteraan kanak-kanak yang sihat melalui model penyampaian hibrid. Ibu bapa menghadiri sesi bersemuka untuk mempelajari prinsip asas keibubapaan positif dan kemudian menyertai NKText, chatbot yang menyampaikan pelajaran keibubapaan harian melalui WhatsApp atau Telegram. Sepanjang perjalanan pembelajaran mereka, ibu bapa disokong melalui kumpulan sokongan dalam talian bersama penjaga lain dan fasilitator program mereka.  

NKText menyampaikan kandungan berstruktur melalui lapan matlamat keibubapaan: (1) perbaiki hubungan saya dengan anak saya, (2) persiapkan diri anak saya untuk menempa kejayaan di sekolah, (3) memahami perkembangan anak, (4) memberi persekitaran yang seimbang untuk anak saya, (5) menyokong tingkah laku anak yang positif, (6) memastikan anak

saya selamat & sihat; (7) jalinkan hubungan sihat dengan pasangan saya, dan (8) merancang perbelanjaan keluarga dan menjimatkan wang. NKText juga mempunyai komponen tambahan, seperti aktiviti pembelajaran melalui permainan dan alat penilaian perkembangan, untuk membantu ibu bapa lebih memahami dan bertindak balas terhadap keperluan anak-anak mereka.

Setiap kemahiran harian termasuk mesej ringkas, kuiz, komik dan video, dan yang paling penting, aktiviti mudah untuk ibu bapa mencuba di rumah bersama anak mereka—seperti 5 minit sehari untuk masa seorang-dengan-seorang bersama anak mereka. Ini adalah perkara yang ibu bapa boleh lakukan secara konsisten, walaupun jadual mereka yang sibuk.

Penyampaian Naungan Kasih yang berkualiti disokong juga oleh FaciNK, aplikasi khusus yang dibangunkan untuk menyokong fasilitator semasa mereka menyampaikan sokongan secara bersemuka dan digital. FaciNK memperkemas penyampaian program dan memudahkan sokongan dalam talian untuk ibu bapa. Melalui aplikasi itu, fasilitator boleh menyampaikan kandungan mingguan dengan cekap dan mengakses data penting untuk memantau dan menyokong penglibatan ibu bapa dalam program ini.

4,155 

penjaga mendapat manfaat
daripada program kami

67%

ibu bapa berasa program ini
"sangat membantu"

Dapatan kajian

Program Naungan Kasih dinilai oleh penyelidik dari Universiti Putra Malaysia dan University of Oxford.

Kajian 2023-24 yang dijalankan dengan 151 keluarga di negeri Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan dapatan yang baik. Program ini berpotensi untuk diluaskan dengan kos yang rendah sambil meningkatkan keibubapaan positif dan menggalakkan perkembangan kanak-kanak. 

Kesan positif didapati untuk mengurangkan tekanan keibubapaan, penderaan fizikal dan emosi kanak-kanak, masalah tingkah laku kanak-kanak, dan peningkatan kemahiran nombor kanak-kanak.

Sebelum ini, pengetahuan dan kemahiran kami kurang, dan tak pernah ada pendedahan. Daripada program ini, kami boleh belajar banyak, belajar bagaimana untuk mengajar anak kami, apa erti kesabaran dalam amalan, semuanya diajar dalam program

- Bapa kepada anak 5 tahun

Rakan Kongsi

Strategi Penskalaan

PLH bekerjasama rapat dengan institusi kerajaan dan rakan kongsi tempatan untuk meluaskan program Naungan Kasih dan memastikan setiap ibu bapa di seluruh Malaysia mendapat akses kepada sokongan keibubapaan yang positif. Kami komited untuk memastikan kelestarian jangka panjang program ini dengan memindahkan pelaksanaannya kepada pemilikan tempatan melalui beberapa strategi utama:

  • Membina infrastruktur teknologi untuk menyokong penyampaian program yang mampan. 

  • Memperluaskan liputan latihan fasilitator di seluruh Malaysia.

  • Menubuhkan organisasi yang berdedikasi untuk memimpin latihan jurulatih.

Sebenarnya, sebelum ini, 5 minit rasa macam 5 jam bagi saya, dan saya tidak mempunyai 5 jam. Tapi sekarang saya ada kesedaran. Saya menangis kerana saya tak ada masa untuk anak saya sebelum ini

- Ibu kepada 5 tahun